KOTA KINABALU: Kapasiti bekalan tenaga elektrik di Sabah dan Labuan yang merosot ke tahap kritikal minggu lalu, dapat ditingkatkan selepas dua syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) beroperasi semula sepenuhnya bermula semalam.
Grid Sabah kehilangan 155 megawatt (MW) sejak 14 Januari lalu akibat penutupan sementara dua IPP terbabit menyebabkan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) terpaksa melaksanakan catuan bekalan kepada pengguna.
Operator Sistem Grid Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Ir Adrian Mosigil, berkata, IPP terbabit, iaitu Kimanis Power Sdn Bhd membekalkan semula 95MW sejak semalam selepas menutup janakuasa untuk pemeriksaan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) sejak 6 Januari lalu.
Katanya, IPP kedua, iaitu Ranhill Powertron ll Sdn Bhd membekalkan semula tenaga elektrik bermula kelmarin selepas penutupan kecemasan 60MW akibat masalah getaran tinggi set penjanaan pada 14 Januari lalu.
“Pengoperasian semula kedua-dua IPP itu meningkatkan kembali kapasiti penjanaan bekalan elektrik yang sebelum ini mengalami rizab margin pada paras kritikal.
“Kita menghargai usaha kedua-dua IPP memastikan pemeriksaan keselamatan dan penyelesaian masalah teknikal dalam tempoh yang singkat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Setakat ini SESB mempunyai kapasiti untuk membekalkan 1,177.3 MW tenaga elektrik di Sabah dan Labuan, manakala permintaan waktu puncak mencecah 1,090.73 MW sehari.
Adrian berkata, SESB dan syarikat IPP sentiasa berusaha untuk mengelakkan gangguan dan catuan bekalan elektrik bagi memastikan pengguna di Sabah dan Labuan dapat menikmati bekalan tenaga yang stabil.
Katanya, SESB akan membuat hebahan ramalan catuan bekalan elektrik pada Isnin hingga Jumaat bagi memastikan semua pihak bersiap sedia dengan perkembangan semasa bekalan elektrik di Sabah dan Labuan.
Sementara itu, beliau berkata beberapa stesen janakuasa yang sebelum ini berdepan masalah juga dijangka mula beroperasi bermula bulan depan.
“IPP syarikat Serudong Power Sdn Bhd dijangka dapat membekalkan semula 11 MW ke Grid Sabah pada 1 Mac depan selepas kerja-kerja baik pulih ‘crank case cover’ yang rosak sejak 27 April 2023 siap.
“Sebuah unit penjanaan di Stesen Janakuasa Patau- Patau Labuan berkapasiti 30 MW yang mengalami masalah teknikal sejak 5 September 2023 juga dijangka beroperasi semula pada 29 Februari depan,” katanya.
Pada masa sama, katanya Stesen Jana Kuasa Hidro Tenom Pangi yang masih dalam proses pembaikan selepas ditutup akibat kerosakan teruk bencana alam pada 31 Oktober 2022 dijangka beroperasi semula secara berperingkat pada Mac, Jun dan Oktober depan. – Info X