KIMANIS: Bekalan tenaga yang mencukupi dan mampan penting dalam usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat Sabah, selain memperkukuh pembangunan sosio ekonomi negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri sentiasa komited untuk terus memperkasa pengurusan sumber dan pembangunan sektor tenaga di menerusi Pelan Induk Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040).
Katanya, SE-RAMP 2040 adalah satu langkah penting bagi kerajaan negeri memastikan bekalan tenaga yang mampan, akses yang adil dan menyeluruh serta kos yang mampu milik.
Jelasnya, perkara itu selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menyediakan bekalan elektrik yang berdaya harap kepada seluruh rakyat Sabah.
“Di bawah pelan itu, Majlis Tenaga Sabah (MTS) telah ditubuhkan bagi memantau, menyokong dan memberikan panduan terhadap pelaksanaan inisiatif-inisiatif jangka pendek, sederhana dan panjang yang dirancang.
“MTS dalam mesyuarat keduanya bulan Ogos lalu telah meluluskan beberapa projek kritikal bagi pembangunan penjanaan berkapasiti 700 Megawatt (MW) untuk mengukuhkan Sistem Grid di Sabah.
“Projek Loji Janakuasa 100 MW oleh Kimanis Power (Dua) Sdn Bhd ini adalah antara projek yang diluluskan untuk memastikan bekalan elektrik mencukupi bagi memenuhi keperluan industri dan masyarakat kita.

“Projek ini sudah pasti mampu mengukuhkan lagi sumber dan bekalan elektrik negeri Sabah sekali gus memastikan kesejahteraan rakyat negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Projek Loji Janakuasa 100 MW Kimanis Power (Dua) Sdn Bhd dan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-15 Kimanis Power Sdn Bhd di Stesen Janakuasa Kimanis, di sini, pada Selasa.
Hajiji berkata, menerusi kerjasama erat di antara Kumpulan Yayasan Sabah dan PETRONAS Gas Berhad, Kimanis Power berkembang sebagai Penjana Tenaga Bebas (IPP) yang memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan bekalan elektrik di Sabah yang menjadi tunjang kepada pembangunan negeri ini.
Katanya, sektor tenaga menjadi pemacu penting dan antara penyumbang terbesar kepada ekonomi Sabah sejak beberapa dekad yang lalu.
Justeru, katanya projek itu akan dapat memenuhi peningkatan permintaan tenaga di negeri ini.
Ketua Menteri berkata, PETRONAS sebagai rakan utama Sabah terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh sosio ekonomi negeri melalui pembangunan modal insan dan kerjasama strategik dengan kerajaan negeri.
Beliau berkata, komitmen itu terserlah dalam usaha PETRONAS memajukan bakat tempatan dengan menyediakan peluang latihan, program peningkatan kemahiran dan pendidikan berterusan untuk anak-anak Sabah.
“PETRONAS juga menyokong ekonomi tempatan melalui pemindahan teknologi dan pemerkasaan vendor tempatan.
“Usaha bersepadu ini bukan saja memajukan industri minyak dan gas di Sabah, malah meningkatkan taraf hidup rakyat serta merangsang ekonomi negeri secara keseluruhan,” katanya. – Info X