KOTA KINABALU: Bekas suami isteri masing-masing dipenjara 34 tahun selepas didapati bersalah membunuh pembantu rumah mereka di Penampang pada 2021.
Hukuman itu dijatuhkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Dr Lim Hock Leng, ketika membacakan penghakiman bagi kes itu pada prosiding hari ini.
Hakim turut memerintahkan tertuduh pertama, Mohd Ambree Yunos @ Unos, 44, dikenakan 12 sebatan, manakala bekas isterinya, Etiqah Siti Noorashikeen Mohd Sulong, 37, dikecualikan sebatan mandatori atas faktor jantina, mengikut Seksyen 289 Kanun Tatacara Jenayah.
Ambree, seorang kontraktor dan Etiqah, bekas finalis sebuah program realiti masakan didapati bersalah membunuh pembantu rumah mereka, Nur Afiyah Daeng Damin, 28, antara 8 hingga 11 Disember 2021 di sebuah kondominium di Penampang.
Kedua-dua tertuduh disabitkan bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 tahun hingga 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan, jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Dalam penghakinannya, Hock Leng menyatakan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, manakala pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan terhadap pertuduhan.
Hakim antara lain berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan secara jelas elemen penting termasuk mangsa mati akibat kecederaan; kecederaan dilakukan tertuduh dengan niat mengikut Seksyen 300(c) Kanun Keseksaan; dan mereka bertindak dengan niat bersama.
Mahkamah menegaskan, walaupun kedua-dua peguam bela mengemukakan rayuan secara bersungguh-sungguh, mahkamah tidak boleh mengabaikan kekejaman yang dialami mangsa seperti yang dihujahkan oleh pihak pendakwaan.
Mahkamah turut mengambil kira jenis kecederaan dan cara ia dilakukan dalam tempoh masa yang panjang.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus, manakala Ambree dan Etiqah masing-masing diwakili peguam Datuk Ram Singh dan Datuk Seri Rakhbir Singh.
Kedua-dua tertuduh, yang sebelum ini dibebaskan dengan jaminan, diperintah menjalani hukuman penjara serta-merta bermula hari ini, iaitu pada tarikh sabitan.
Bekas pasangan suami isteri itu dihadapkan ke mahkamah pada 29 Disember 2021 tetapi mengaku tidak bersalah sebelum memohon untuk dibicarakan pada 17 November 2022. – Info X