Search

Bekas pemain Sabah Bobby Chua meninggal dunia

March 14, 2023

admin

KOTA KINABALU: Bekas pemain bola sepak Sabah dan Sarawak, Bobby Chua meninggal dunia pada jam 2.25 petang tadi.

Perkara itu turut disahkan isterinya, Zafidah Yaakub, menerusi satu hantaran di Facebook.

“Assalamualaikum, suami saya (Zafidah Yaakub) yang tercinta, Bobby Chua Abdullah telah kembali ke rahmatullah lebih kurang jam 2.25 petang tadi.

“In Syaa Allah jenazah akan dibawa ke Surau Al Mustafa V19, KKIP barat sepanggar untuk urusan jenazah dan akan segera dikebumikan di Tanah Pengkebumian Waqaf Kampung Kota (berhadapan dengan Masjid Kota Tuaran),” katanya dalam hantaran itu.

Bobby yang pernah menggerunkan lawan ketika beraksi di padang pada era 1980an dan 1990an, sebelum ini dilaporkan menghidap penyakit sklerosis lateral amiotrofik (ALS).

Penyakit ini juga dikenali sebagai penyakit neuron motor (MND) iaitu penyakit tertentu yang menyebabkan kematian neuron yang mengawal otot rangka. ALS dicirikan oleh otot-otot yang sengit, otot berkeringat dan secara beransur-ansur memburuk kerana otot berkurang. Ini mengakibatkan kesukaran bercakap, menelan dan akhirnya bernafas.

Bobby yang berasal dari Inanam, di sini, menjadi pemain bola sepak profesional pada 1994 dan bermain untuk pasukan Sabah sehingga 1998 sebelum berhijrah ke Sarawak. Perpindahan beliau ke Sarawak pada waktu itu pernah menjadi kontroversi apabila hanya dikenakan yuran RM9.95 oleh Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Selama enam tahun bermain untuk Sarawak iaitu sehingga 2004, Bobby pernah diberi kepercayaan sebagai kapten pasukan dan menjadi antara pemain skuad Bujang Senang yang menyerlah ketika itu. – Info X