KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang bekas penolong akauntan sebuah agensi kerajaan kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu.
Perbuatan itu dipercayai membabitkan kerja naik taraf dan penyelenggaraan bernilai kira-kira RM90,000.
Menurut sumber, suspek wanita berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira 1 tengah hari semalam, dalam satu operasi dijalankan SPRM di sekitar Kota Kinabalu.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu sekitar 2025 dengan mengemukakan dokumen pesanan kerajaan, invois dan sebut harga syarikat yang mengandungi butir matan palsu berkaitan pembekalan serta kerja naik taraf dan penyelenggaraan di jabatan tempatnya bekerja.
“Suspek juga disyaki membuat lantikan terus kepada syarikat milik ahli keluarganya bagi mendapatkan suapan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Fuad Bee Basrah, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – Info X