KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang bekas setiausaha sebuah persatuan kerana disyaki mengemukakan dokumen palsu berkaitan permohonan mendapatkan peruntukan khas berjumlah kira-kira RM85,000 daripada Ketua Menteri Sabah.
Peruntukan itu kononnya bertujuan membina bangunan pejabat pentadbiran persatuan di sebuah daerah di negeri ini di mana ia juga tempat setiausaha berkenaan bekerja.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 50-an itu telah ditahan kira-kira jam 9.40 pagi tadi ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.
“Susulan penahanan itu, suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu bagi tujuan pertuduhan esok pagi.
“Suspek yang juga merupakan seorang guru besar disyaki mengemukakan dokumen palsu ketika memohon untuk mendapatkan peruntukan khas bagi pembinaan bangunan pejabat pentadbiran persatuan tempatnya bekerja,” katanya sumber itu.
Tambahnya lagi, suspek yang kini digantung tugas sebelum ini pernah dituduh sebanyak lapan pertuduhan di Mahkamah Sesyen (Khas Rasuah) Kota Kinabalu pada 21 Mei 2024 mengikut Seksyen 471 dan Seksyen 107(c) Kanun Keseksaan dan kes masih dalam perbicaraan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan kes akan dituduh mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – Info X