KUALA LUMPUR: Guardian Malaysia menyambut baik langkah-langkah dalam Belanjawan 2027 yang bertujuan meningkatkan kemampuan rakyat mendapatkan penjagaan kesihatan, khususnya peningkatan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 buat kali pertama sejak 2010.
Pengarah Urusan Guardian Malaysia Priscilla Wu berkata langkah-langkah itu, bersama-sama pengurangan cukai yang berpotensi mengembalikan sehingga RM1,600 ke dalam belanjawan isi rumah, mencerminkan pengiktirafan bahawa kemampuan mendapatkan penjagaan kesihatan adalah aspek penting dalam perbincangan mengenai kos sara hidup.
“Apabila belanjawan isi rumah terhad, keluarga mungkin menangguhkan keperluan kesihatan yang lebih kecil bagi menguruskan perbelanjaan sara hidup yang mendesak. Bagi kebanyakan keluarga di Malaysia, perbelanjaan kesihatan bermula di rumah, merangkumi keperluan kesihatan harian, penjagaan kendiri yang bertanggungjawab dan pencegahan penyakit.
“Langkah seperti memperluas pelepasan cukai untuk merangkumi perkhidmatan penjagaan selepas bersalin dan keseluruhan perbelanjaan penjagaan ibu bapa membantu menjadikan pelaburan dalam kesihatan keluarga ini lebih mampu ditanggung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Guardian, sebagai penasihat kesihatan yang dipercayai dan berkhidmat kepada masyarakat di seluruh Malaysia yakin usaha menjadikan penjagaan kesihatan harian lebih mudah diakses dan mampu ditanggung dapat menyokong keluarga yang lebih sihat, di samping melengkapi usaha lebih menyeluruh kerajaan untuk membina sistem penjagaan kesihatan yang lebih mampan.
Ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Parlimen hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peningkatan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000, selain peluasan pelepasan cukai untuk merangkumi perkhidmatan penjagaan selepas bersalin dan keseluruhan perbelanjaan penjagaan ibu bapa.–BERNAMA