KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan khas bagi menangani isu tiga serangkai – jalan raya, air dan elektrik di Sabah pada tahun depan.
Katanya, usaha itu selaras komitmen belanjawan negeri tahun depan untuk mengutamakan projek berkaitan isu itu.
“Isu-isu ini adalah keutamaan Kerajaan Negeri,” katanya ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan Negeri 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat.
Selain itu, Hajiji berkata belanjawan berkenaan juga menekankan usaha meneruskan matlamat meningkatkan taraf hidup rakyat secara keseluruhan.
Beliau berkata, kerajaan akan meneruskan program bagi meningkatkan kesejahteraan golongan kurang bernasib baik selain pembangunan pendidikan dan modal insan pada tahun depan.
Terdahulu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun membentangkan Belanjawan Negeri lebihan dengan perbelanjaan sebanyak RM6.402 bilion berbanding anggaran hasil RM6.430 bilion pada tahun depan.
Kementerian Kerja Raya dan Utiliti, yang bertanggungjawab ke atas jalan raya, bekalan air dan elektrik, diperuntukkan sebanyak RM1.122 bilion untuk pembangunan tahun depan. – Info X