Search

Belum ada kebenaran buat perhimpunan, polis akan panggil penganjur

December 26, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis akan memanggil tiga penganjur yang dikatakan akan membuat perhimpunan secara aman di hadapan Menara Kinabalu yang menempatkan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, pada 31 Disember ini.

Tiga kumpulan berkenaan ialah Suara Mahasiswa, Gerakan Bangkit Sabahan dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, ketiga-tiga kumpulan penganjur itu merancang perhimpunan di kawasan dan masa yang sama.

“Pada hari ini, ketiga-tiga kumpulan penganjur perhimpunan dan acara yang diadakan di hadapan Menara Kinabalu pada 31 Disember ini sudah memaklumkan mengenai perhimpunan masing-masing kepada polis.

“Bagi Suara Mahasiswa, setakat hari ini belum memenuhi syarat dan tiada persetujuan, sebab tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) selaku pemilik tempat disebabkan kumpulan penganjur dikesan tidak memenuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman.

“Oleh itu, saya akan buat jemputan untuk ketiga-tiga penganjur itu hari ini, untuk mereka hadir esok,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kasim berkata, sekiranya perhimpunan berlaku, pihak polis sudah membuat persiapan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di kawasan berkenaan.

“Kita tidak dedahkan kepada awam tahap keselamatan yang akan dilaksanakan sekiranya terjadi perhimpunan awam di kawasan itu.

“Apa yang baik saya katakan, orang ramai diminta supaya tidak perlu hadir kerana semua penganjuran berkenaan belum mendapat lagi kebenaran termasuk dari DBKK,” katanya.

Sebelum ini, UMNO Sabah meminta pihak polis mengetatkan keselamatan berikutan ura-ura penganjuran dua perhimpunan aman di hadapan Menara Kinabalu pada 31 Disember ini.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata pertembungan dua perhimpunan yang dianjurkan dua kumpulan berlainan di tempat dan masa yang sama itu boleh mencetuskan insiden tidak diingini jika berlaku provokasi tidak terkawal.

Katanya, pihak berkuasa perlu menilai implikasi keselamatan yang mungkin berlaku jika dua kumpulan terbabit dibiarkan mengadakan perhimpunan serentak di lokasi yang sama.

Sebelum ini, sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menggelarkan diri sebagai Suara Mahasiswa UMS merancang penganjuran Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah pada 31 Disember ini.

Satu lagi kumpulan yang menamakan diri sebagai Gerakan Bangkit Sabahan merancang Himpunan Bangkit Sabahan Pertahankan Hak Sabah, Kami Bersama Hajiji, kedua-dua perhimpunan dijadual bermula jam 2 petang.

Selain dua perhimpunan itu, satu lagi program turut dianjurkan di lokasi dan tarikh yang sama iaitu Karnival Ria Kinabalu oleh UPPM Sabah yang dijadual bermula pada jam 10 pagi hingga jam 6 petang. – Info X