Search

Bengkel motosikal, kedai basikal terbakar

August 21, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Sebuah bengkel motosikal dan kedai basikal dua tingkat terbakar di Jalan Penampang Baru, di sini, petang ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.28 petang.

Katanya, sembilan anggota BBP Penampang bersama enam anggota BBP Putatan dikerahkan ke lokasi dengan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan lori tangki air.

“Kebakaran membabitkan bangunan kekal dua tingkat yang menempatkan bengkel motosikal dan kedai basikal.

“Api membakar bahagian tingkat satu bangunan berkenaan sebelum operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua pancutan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, sumber air diperoleh daripada lori tangki bomba dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.57 petang.

“Tiada mangsa dilaporkan, manakala operasi pemadaman masih diteruskan dan maklumat lanjut akan dikemas kini.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya.

Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I Calixtus Fedilis dengan kekuatan keseluruhan 15 anggota, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di lokasi. – Info X