KOTA BELUD: Sebuah bengkel dan tiga kenderaan musnah dalam kebakaran di Kampung Sembirai, di sini, petang tadi.
Kebakaran membabitkan sebuah bengkel separuh kekal berkeluasan kira-kira 167 meter persegi yang musnah sepenuhnya.
Tiga kenderaan terdiri daripada Isuzu pikap, Suzuki Jimny dan Nissan Patrol yang berada di bengkel berkenaan turut terbakar 100 peratus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Kanan Penguasa Bomba Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.35 petang.
Katanya, tujuh anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) tiba di lokasi tujuh minit kemudian.

“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan tiga pancutan.
“Sumber air diperoleh daripada tangki jentera dan kebakaran berjaya dikawal pada 6.06 petang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity (SE) dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pangkalan Abai.
“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.22 petang selepas keadaan dipastikan selamat,” katanya. – Info X