TENOM: Sebanyak 1,000 benih ikan siakap dan 2,500 benih udang galah dilepaskan ke Sungai Padas berhampiran Jambatan Baharu Tenom pada satu program, di sini, pada Sabtu.
Sumbangan benih ikan itu disalurkan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar sebagai sebahagian usaha memperkaya sumber perikanan sungai dan menyokong pembangunan kawasan rekreasi di daerah ini
Pelepasan benih ikan dilakukan Pegawai Khas kepada Menteri, Mohd Nizam Ag Kassim bersama Pegawai Perikanan Daerah Tenom, Francis Tikoi dan kakitangan Jabatan Perikanan Daerah Tenom.
Turut hadir ialah Pemaju Mukim, Junaidi Juan yang mewakili Pusat Perkhidmatan Masyarakat (PPM) Melalap dan wakil Team Nelayan Darat Tenom diketuai Fahmi.
Mohd Nizam berkata, program pelepasan benih ikan dan udang itu adalah antara inisiatif Jabatan Perikanan Daerah Tenom selaras perancangan Jamawi selaku ADUN Melalap untuk membangunkan kawasan sekitar Jambatan Baharu Tenom sebagai Esplanade Tenom.
“Bagi pihak Datuk Jamawi Jaafar, sebanyak 1,000 benih anak ikan siakap dan 2,500 benih anak udang galah telah disumbangkan untuk dilepaskan ke Sungai Padas.
“Program ini adalah salah satu usaha Jabatan Perikanan Daerah Tenom yang seiring dengan perancangan beliau untuk menjadikan kawasan di Jambatan Baharu sebagai Esplanade Tenom yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berharap benih-benih yang dilepaskan itu dapat membesar dengan baik dan terus membiak bagi menambah populasi ikan serta udang galah di Sungai Padas.
Katanya, usaha pemuliharaan dan penambahan sumber perikanan sungai itu bukan saja memberi manfaat kepada ekosistem, malah berpotensi menjadi tarikan rekreasi serta aktiviti perikanan darat pada masa hadapan.
“Semoga benih-benih anak ikan siakap dan udang galah ini membesar serta membiak dengan lebih banyak di Sungai Padas Tenom demi manfaat bersama,” katanya. – Info X