KOTA KINABALU: Perselisihan faham berkaitan urusan mendapatkan penumpang dipercayai menjadi punca dua pekerja syarikat bas bertumbuk di Terminal Bas Inanam, di sini.
Kejadian jam 11.54 pagi Jumaat lalu itu membabitkan dua lelaki berusia 38 dan 37 tahun yang bertumbuk menggunakan tangan tanpa sebarang senjata.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada hari sama.
“Pemeriksaan awal mendapati kedua-dua lelaki terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Susulan laporan diterima, polis menahan kedua-duanya kira-kira 2.30 petang kelmarin bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana melakukan gaduh gempar.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan menyelesaikan sebarang perselisihan melalui saluran sewajarnya.
Katanya, orang ramai juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 29 saat di media sosial yang memaparkan pergaduhan dua lelaki di Terminal Bas Inanam. – Info X