Search

Beri pertimbangan cadangan naikkan Budi Diesel kepada 500 liter sebulan – AMK Sabah

August 16, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah mahu kerajaan menimbangkan sebaik mungkin cadangan peningkatan kuota subsidi diesel di bawah inisiatif BUDI Diesel kepada 500 liter sebulan, khususnya di Sabah.

Ketuanya, Zaidi Jatil, berkata cadangan yang dibangkitkan Junaidah Makku selaku wakil pembahas Sabah pada Kongres Nasional KEADILAN memang wajar dan disokong sepenuhnya.

“Saya mengikuti penuh perbahasan beliau yang membawa suara serta realiti kehidupan rakyat Sabah. Pada pandangan kami, cadangan ini munasabah dan sewajarnya diberikan penelitian oleh YAB Perdana Menteri serta Kerajaan MADANI.

“Sabah mempunyai keluasan geografi, bentuk muka bumi dan jaringan perhubungan yang berbeza berbanding kebanyakan kawasan lain di negara ini.

“Masih terdapat masyarakat yang perlu menempuh perjalanan jauh untuk ke pekan, menghantar hasil pertanian, menjalankan perniagaan atau mendapatkan perkhidmatan asas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Katanya, penggunaan diesel bukan semata-mata soal pilihan tetapi menjadi keperluan oleh sebahagian rakyat untuk meneruskan kehidupan dan mencari rezeki.

Tegasnya, sesuatu kadar yang dilihat mencukupi berdasarkan pengiraan di atas kertas, belum tentu mencukupi apabila berhadapan dengan realiti perjalanan di bumi Sabah.

“AMK Sabah memahami dan menyokong matlamat Kerajaan MADANI untuk memastikan subsidi negara lebih bersasar, mengurangkan ketirisan serta memastikan bantuan dinikmati oleh golongan yang benar-benar layak.

“Namun, subsidi bersasar juga seharusnya mengambil kira perbezaan keperluan antara wilayah, supaya dasar yang baik tidak akhirnya memberikan kesan yang berbeza kepada rakyat hanya kerana keadaan geografi mereka tidak sama.

“Justeru, kami berharap cadangan kuota 500 liter sebulan ini dapat dinilai secara objektif berdasarkan data, jarak perjalanan, aktiviti ekonomi serta keperluan sebenar rakyat Sabah.

“Kita tidak mahu rakyat di kawasan luar bandar terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi hanya kerana perjalanan mereka lebih jauh daripada orang lain,” katanya.

Beliau berkata, Sabah tidak meminta layanan istimewa, sebaliknya hanya mahu keperluan Sabah dinilai berdasarkan realiti di negeri ini.

Katanya, AMK Sabah percaya Kerajaan MADANI sentiasa terbuka mendengar pandangan dan melakukan penambahbaikan apabila sesuatu dasar memerlukan penyelarasan.

“Keupayaan kerajaan mendengar suara dari bawah bukan tanda kelemahan, sebaliknya mencerminkan kematangan sebuah pentadbiran yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

“Kami berharap suara yang dibawa melalui Kongres Nasional KEADILAN ini diberikan pertimbangan sewajarnya demi memastikan manfaat subsidi diesel benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya. – Info X