Search

Bersubahat lepaskan PTI: 2 pegawai imigresen mengaku tidak bersalah

May 10, 2023

admin

TAWAU: Dua pegawai Imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini atas pertuduhan rasuah dan bersubahat kerana melepaskan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menggunakan MyKad individu lain bagi memudahkan perjalanan keluar dari Sabah ke Semenanjung Malaysia, pada dua bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh Rosmaini Sapar, 40, dan Elmin Salleh, 30, masing-masing membuat pengakuan tidak bersalah itu di hadapan Hakim Jason Juga, selepas pertuduhan dibacakan.

Tertuduh Rosmaini, yang bertugas di Pejabat Imigresen UTC Tawau didakwa menerima rasuah RM4,500 daripada Rahma Mobin, 48, sebagai dorongan untuk melepaskan sembilan PATI yang menggunakan MyKad individu lain untuk melepasi kaunter pemeriksaan Imigresen 1, Lapangan Terbang Tawau antara 8.30 pagi hingga 9 pagi bagi menaiki penerbangan daripada Tawau ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 pada 23 Mac lalu.

Kedua-dua tertuduh hadir di Mahkamah Khas Rasuah Tawau.

Rosmaini didakwa menerima rasuah itu di Bank Muamalat cawangan Tawau, Lot 69 & 70, Ground & First Floor No G4 & G6, Kubota Square, Tawau pada 22 Mac lalu dan pada tarikh serta lokasi sama juga, Elmin yang bertugas di Pejabat Imigresen, Lapangan Terbang Tawau turut didakwa bersubahat bersama Rosmaini bagi dorongan sama.

Rosmaini dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama, manakala Elmin dituduh mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 (Akta 694) serta dibaca bersama Seksyen 16(a)(B) Akta yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama, kedua-dua seksyen jika sabit kesalahan memperuntukan hukuman penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim Jason kemudian membenarkan Rosmaini dan Elmin masing-masing diikat jamin RM10,000 berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan sekali, selain tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Hakim turut menetapkan 27 Julai ini untuk sebutan semula kes, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Nurul Izzati Sapifee, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Jhesseny P Kang.

Pada Mac lalu, SPRM bersama Jabatan Pendaftaran Negara melaksanakan operasi khas Op Lancar bagi membanteras sindiket penyeludupan pendatang haram di Sabah.

Modus operandi sindiket adalah setiap PATI atau Pemastautin Sementara yang tidak memiliki dokumen lengkap atau mempunyai sekatan, perlu membayar sekitar RM2,500 kepada ejen pendatang jika ingin keluar dari Sabah melalui Lapangan Terbang Tawau. – Info X