KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menasihati penduduk di Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu supaya bertenang serta mematuhi arahan pihak berkuasa susulan amaran tsunami berikutan gempa bumi berukuran 7.9 skala Richter yang berlaku di Mindanao, Selatan Filipina, pagi Isnin.
Beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) di daerah terbabit sudah diaktifkan bagi menangani situasi bencana.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran mengenai ombak tsunami setinggi 0.4 meter dijangka melanda kawasan berkenaan bermula jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari.
“Adalah penting untuk rakyat kekal bertenang dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri sedang memantau keadaan itu dengan rapi. – Info X