LAHAD DATU: Tindakan dua lelaki melakukan aksi berbahaya di jalan raya hingga tular di media sosial membawa padah apabila kedua-duanya berjaya dikesan dan ditahan polis dalam tempoh singkat.
Kedua-dua kejadian membabitkan sebuah Perodua Bezza dan Proton Saga FL yang dirakam melakukan kesalahan lalu lintas berasingan di sekitar daerah ini sebelum video tular di Facebook.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, dalam kejadian pertama pada 7 Mei lalu, video berdurasi 21 saat memaparkan sebuah Perodua Bezza biru membuat pusingan U di lokasi tidak dibenarkan dengan memanjat pembahagi jalan bersimen di hadapan Bismi Bistro, Jalan Pantai.
Katanya, susulan video tular itu, pasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Lahad Datu berjaya mengesan serta menahan pemandu terbabit bersama kenderaan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati pemandu lelaki warga Filipina berusia 42 tahun itu melakukan tindakan berbahaya berkenaan kerana mahu mencari jalan pintas dan bergerak lebih cepat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, dalam kejadian kedua pada 8 Mei lalu pula, satu video berdurasi seminit memaparkan sebuah Proton Saga FL merah dipandu secara melawan arus dari Jalan Pantai menuju lampu isyarat berhampiran Kem Askar turut tular di Facebook.
Katanya, hasil siasatan dijalankan BSPTD Lahad Datu, pemilik serta pemandu kenderaan berjaya dikesan sebelum hadir ke pejabat trafik IPD Lahad Datu pada malam hari sama.
“Pemandu lelaki tempatan berusia 43 tahun itu mendakwa bertindak demikian kerana mahu bergerak cepat atas alasan kecemasan,” katanya.
Dzulbaharin berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Katanya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.
“Polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas dan tidak melakukan tindakan berbahaya yang boleh mengancam keselamatan pengguna lain.
“Sebarang pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan tegas tanpa kompromi,” katanya. – Info X