Search

BigSabah Sale platform perkukuh ekonomi Sabah – KM

November 1, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Inisiatif perdagangan seperti BigSabah Sale mampu memperluas akses pasaran dan mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai tumpuan perdagangan serantau dan antarabangsa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji, berkata platform seperti BigSabah Sale dapat memupuk kerjasama
komersial yang berterusan dan memperkukuh integrasi ekonomi Sabah dengan BIMP-EAGA dan koridor Asia-Pasifik.

Katanya, kerjasama yang kukuh dan bermakna menerusi inisiatif seumpama itu mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan komersial Sabah.

“Kerajaan Negeri menghargai kerjasama dengan pihak industri yang sokongannya membolehkan peluasan perdagangan, pengembangan pasaran dan pembangunan perniagaan untuk usahawan tempatan.

“Kehadiran pempamer antarabangsa dan pembeli yang dijemput hari ini mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap potensi Sabah sebagai pintu masuk perdagangan di Timur ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena majlis perasmian BigSabah Sale di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Masidi melihat pameran BigSabah Sale di SICC.

Hajiji berkata, BigSabah Sale mencerminkan kemajuan berterusan Sabah dalam membangunkan ekonomi yang dinamik dan saling berhubung.

Katanya, acara itu menonjolkan kepentingan penyertaan perusahaan, kolaborasi industri dan kerjasama serantau sebagai pemacu utama pertumbuhan mampan.

Beliau berkata, melalui inovasi, kelestarian dan kerjasama pintar, Sabah sedang berubah secara berperingkat menjadi destinasi perniagaan dan pelaburan bernilai tinggi.

“Saya menggalakkan semua pempamer, usahawan dan pelabur untuk memanfaatkan peluang ini sepenuhnya. Bentuklah kerjasama baharu, terokai ekosistem produk baharu dan gerakkan idea-idea baharu,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri mengiktiraf acara perniagaan sebagai pemangkin aktiviti ekonomi dan pemacu strategik kepada keterhubungan perdagangan.

“Pada November 2022, Kerajaan Negeri menubuhkan Sabah Convention Bureau (SCB) bagi meningkatkan daya saing Sabah dalam bidang mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).

“Melalui kerjasama dengan pemain industri, SCB terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem acara perniagaan dengan menarik program industri dan meningkatkan keterlihatan Sabah dalam landskap acara global,” katanya.

Beliau berkata, acara perniagaan menjadi enjin peluang yang berkuasa kerana menjana aktiviti ekonomi bukan saa untuk sektor hospitaliti dan runcit, tetapi juga logistik, pertanian, teknologi dan pembuatan.

“Apa yang tidak kurang pentingnya ialah, ia turut memperkukuh rantaian bekalan tempatan dan pembangunan bakat,” katanya.

Sebanyak 13 negara iaitu Brunei, Indonesia, Filipina, Thailand, Singapura, China, Hong Kong, Taiwan, Korea Selatan, India, Turki, Mesir dan Pakistan mengambil bahagian pada BigSabah Sale tahun ini. – Info X