Search

Bangunan asrama, dewan makan SK Kuala Abai musnah terbakar

December 1, 2023

Junaidi Ladjana

KOTA BELUD: Bangunan dua tingkat asrama dan dewan makan Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Abai, di sini, musnah dalam kebakaran, petang tadi.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kebakaran itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Mohammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.15 petang.

Keadaan bangunan asrama SK Kuala Abai yang musnah terbakar. – Foto/Bomba

Katanya, seramai 10 pegawai dan anggota bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba di lokasi, didapati kebakaran membakar keseluruhan bangunan asrama sekolah berkenaan.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dengan dua pancutan daripada sumber air terbuka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anggota bomba memadam kebakaran membabitkan bangunan asrama SK Kuala Abai, Kota Belud. – Foto/Bomba

Menurutnya, kebakaran membabitkan bangunan asrama dua tingkat dan dewan makan sekolah terbakar sepenuhnya.

“Operasi dilaporkan terkawal pada 8.18 malam. Ketika kejadian warden asrama bersama keluarganya sempat keluar menyelamatkan diri.

“Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X