KOTA KINABALU: Cadangan pembentukan Blok Borneo tidak harus ditafsirkan sebagai usaha untuk mendominasi Semenanjung.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, sebaliknya berkata ia adalah usaha politik yang sah dan matang untuk menyelaraskan suara Sabah dan Sarawak dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Borneo secara lebih tersusun di Parlimen.
Berikutan itu, katanya kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, yang mendakwa bahawa Sabah dan Sarawak menggunakan Blok Borneo untuk memperkukuh kawalan politik di peringkat Persekutuan wajar dilihat dalam konteks sejarah dan semangat pembentukan Malaysia.
“Melalui sistem persekutuan yang sihat, kerjasama antara wilayah bagi memperkukuh kedudukan rundingan adalah sesuatu yang lazim dan bukan sesuatu yang perlu dipandang negatif.
“Perlu diingat bahawa asas pembentukan Malaysia pada tahun 1963 adalah berteraskan prinsip perkongsian antara wilayah.
“Walaupun Sabah dan Sarawak ketika itu berada di bawah pentadbiran British, penyertaan kedua-dua wilayah ini dalam Persekutuan Malaysia dibuat melalui rundingan yang jelas disertai dengan jaminan perlindungan tertentu bagi menjaga identiti, autonomi pentadbiran dan kepentingan rakyat tempatan.
“Jaminan-jaminan ini termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi asas kepada pembentukan negara kita,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Sebelum ini, Zaid antara lain mendakwa pembentukan Blok Borneo bertujuan untuk mengawal Malaya.
Nizam berkata, perkara seperti kuasa imigresen, isu hasil petroleum, tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan dan beberapa perkara berkaitan pelaksanaan MA63 bukanlah keistimewaan yang berlebihan.
“Semua ini adalah sebahagian daripada komitmen asal yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia, maka usaha berterusan untuk menuntut dan memperkukuh pelaksanaan perkara-perkara ini adalah selaras dengan semangat Persekutuan yang adil dan seimbang,” katanya.
Jelasnya, cadangan untuk menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak juga perlu dilihat dari sudut representasi yang lebih saksama.
“Melihat keluasan wilayah, kepelbagaian geografi serta keperluan pembangunan yang berbeza, adalah wajar suara rakyat di Sabah dan Sarawak diwakili secara lebih seimbang dalam Parlimen Malaysia.
“Hakikatnya, pembentukan Blok Borneo mencerminkan kematangan politik Sabah dan Sarawak dalam kerangka Persekutuan Malaysia.
“Ia bertujuan memperkukuh kerjasama antara kedua-dua wilayah supaya isu pembangunan, hak Perlembagaan dan kepentingan rakyat Borneo dapat diperjuangkan secara lebih teratur dan konstruktif,” katanya.
Nizam menegaskan, Malaysia dibina atas semangat kerjasama antara wilayah dan bukan persaingan antara Semenanjung dan Borneo.
Atas sebab itu, katanya sebarang usaha untuk memperkukuh keseimbangan dalam Persekutuan harus dilihat sebagai langkah memperkuatkan negara secara keseluruhan. – Info X