KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah turun padang membantu kempen calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan yang akan diadakan pada 17 Ogos ini.
Jentera BN negeri yang diketuai pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin sama-sama berkempen untuk Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang dicalonkan BN pada PRK itu.
Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, calon BN berpotensi memenangi PRK itu jika strategi jentera kempen berjalan dengan teratur.
Katanya, walaupun PRK itu bukan sesuatu yang mudah, beliau yakin gerak kerja kempen dan pendekatan jentera parti yang membabitkan semua sayapnya mampu meningkatkan sokongan pengundi.
“PRK kali ini bukan sesuatu yang mudah, namun saya menaruh keyakinan BN akan kembali bangkit mengambil alih kawasan ini apalagi BN menampilkan calon orang muda, anak tempatan yang telahpun berkhidmat kepada rakyat atas kapasiti beliau sebagai Ketua Pemuda UMNO Kelantan,” katanya.
Turut menyertai jentera kempen BN Sabah ialah Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin dan beberapa Ketua bahagian UMNO dari Sabah.
Sementara itu, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menyifatkan DUN Nenggiri mempunyai persamaan dengan kawasan Kinabatangan dari segi geografinya, kecuali berbeza saiz.
“Apa yang perlu dilakukan oleh calon setelah memenangi PRK kali ini ialah selesaikan isu rakyat. Calon harus ingat kita datang dari rakyat jadi perlu kembali kepada rakyat. Jika ini menjadi budaya wakil rakyat BN/UMNO, insyaAllah parti akan kuat,” katanya.
Beliau juga mengakui cabaran di Kelantan tidak jauh berbeza dengan di Sabah, yang dikenali sebagai negeri termundur dan termiskin di negara ini.
Katanya, situasi itu sudah tentu memberi cabaran yang berat kepada calon atau wakil rakyat BN/UMNO, lebih-lebih lagi kerajaan negeri tidak selari dengan kerajaan Persekutuan.
“Namun, saya yakin cabaran-cabaran ini terutamanya dari aspek pembangunan akan dapat dilalui dan diselesaikan sedikit demi sedikit. Apa yang penting ada permulaan, jika ada permulaan pasti ada pengakhiran yang baik,” katanya. – Info X