Search

BN Sabah beri tawaran baharu dalam Manifesto PRN17

March 18, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah mengambil langkah awal untuk merangka manifesto yang mengandungi aku janji dan tawaran baharu kepada rakyat negeri ini pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRU17).

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata beliau menerima saranan kepemimpinan tertinggi BN dan UMNO untuk menyediakan tawaran baharu bagi mengembalikan sokongan rakyat Sabah kepada BN.

Katanya, satu pasukan yang diketuai Setiausaha BN Sabah, Datuk Jafry Arifin bersama jawatankuasanya yang terdiri daripada beberapa pemimpin UMNO dan parti kompenan BN Sabah akan meneliti dan merangka manifesto yang padat, jelas dan mampu ditunaikan.

“Fokus kita ialah memperbaiki negeri dari segi keperluan pembangunan insfrastruktur asas yang masih kritikal dan memperkasakan ekonomi selain mahu memulihkan kadar pengangguran pada tahap yang rendah.

“Kita juga akan menyediakan tawaran kepada pengundi muda yang akan mempengaruhi pola pengundian pada PRN kali ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat tertinggi BN Sabah, di sini, semalam.

Yang turut hadir ialah Timbalan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan; Setiausaha BN Sabah, Datuk Jafry Arifin; Bendahari BN Sabah, Datuk Seri Sallleh Said Keruak dan pemimpin MIC, MCA serta Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Bung Moktar (empat kanan) menyerahkan watikah pelantikan Pengerusi Penyelaras BN Tuaran kepada Abdul Rahman.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah memberi jaminan manifesto BN pada PRN17 adalah aku janji yang mampu dilaksanakan.

“Ia bukannya janji bulan dan bintang atau satu gagasan besar sebagaimana yang dijanjikan oleh parti lain yang akhirnya gagal ditunaikan dan rakyat terus menagih janji.

“Manifesto BN Sabah dikeluarkan mengikut keupayaan BN untuk menunaikannya, ia bukan sekadar manifesto atau gagasan besar yang tidak mampu ditunaikan,” katanya.

Jelasnya, manifesto BN Sabah untuk PRN17 perlu disiapkan lebih awal bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya itu diadakan lebih awal berbanding tempoh sebenar Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang yang dijadual tamat pada Oktober tahun depan.

Sementara itu, dalam program berasingan, Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO mempengerusikan mesyuarat Perhubungan UMNO Sabah dan menyerahkan watikah pelantikan kepada 25 orang Pengerusi Penyelaras BN di setiap kawasan Parlimen di negeri ini.

“Pelantikan ini bertujuan untuk menyelaras BN di setiap kawasan yang mana pengerusi penyelaras boleh memanggil ketua parti komponen BN untuk berbincang bagi merangka strategi, hala tuju dan menyusun jentera pilihan raya yang rapi.

“Saya berharap mereka yang dilantik akan menggalas amanah dan tanggungjawab bagi memperkukuhkan kedudukan BN di kawasan masing-masing khususnya untuk berhadapan dengan PRN akan datang,” katanya. – Info X