KOTA KINABALU: Kehadiran pemimpin-pemimpin dari Warisan dan parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) ke rumah terbuka Aidilfitri Umno Sabah menguatkan lagi spekulasi tiga parti itu akan bekerjasama pada pilihan raya akan datang.
Naib Presiden Warisan, Datuk Jaujan Sambakong, Timbalan Presiden PKDM, Datuk Wetrom Bahanda antara yang hadir pada majlis itu, selain pemimpin-pemimpin dan ahli kedua-dua parti berkenaan.
Bagaimanapun, pemimpin-pemimpin daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak dilihat berada di majlis berkenaan.
Rumah terbuka Aidilfitri itu turut dihadiri Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi dan Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Zahid ketika ditanya mengenai ketiadaan pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ke majlis itu, beliau hanya memberitahu yang wakil gabungan itu ada hadir ke program di Kinarut, pagi tadi.
“Wakil GRS hadir ke program saya tadi di MRSM (Maktab Rendah Saind Mara), saya berpandangan itu adalah manifestasi kebersamaan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya.
Ketika diminta mengulas lanjut mengenai kerjasama parti-parti politik di Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, Zahid hanya menjawab “Kamu harus tanya (Datuk Seri) Hajiji (Noor)”.
Terdahulu, Zahid ketika berucap pada majlis itu berkata, kestabilan politik di Sabah penting untuk memastikan pembangunan negeri ini.
“Dengan kepimpinan BN, Warisan dan PKDM serta rakan-rakan politik lain, mari kira kita fokus untuk terus menyokong kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk memberikan kestabilan politik, demi untuk pembangunan negeri ini secara keseluruhannya,” katanya.
Sementara itu, Jaujan ketika ditanya mengenai kehadiran Warisan ke majlis itu, beliau berkata mereka hadir untuk sama-sama menyambut Aidilfitri.

Bagaimanapun ketika ditanya mengenai kerjasama parti itu dengan BN serta PKDM, beliau berharap yang perkara itu akan menjadi realiti.
“Mudah-mudahan jadi realiti (kerjasama dengan BN dan PKDM), yang penting stabilkan keadaan, kerana sampai bila di peringkat nasional dan Sabah politik mahu stabil, yang penting rakyat kita jaga.
“Seperti Datuk Seri (Shafie Apdal) katakan, kita sentiasa terbuka untuk kerjasama demi rakyat, kalau itu yang penting untuk rakyat, kenapa tidak untuk pilihan raya akan datang?,” katanya.
Sebelum ini, BN, Warisan dan PKDM bekerjasama untuk menjatuhkan kerajaan negeri yang dipimpin Hajiji.
Bagaimanapun, usaha mereka gagal selepas beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN ketika itu mengekalkan sokongan mereka kepada Hajiji. – Info X