Search

Boleh bersantai selepas beli juadah di Bazar Ramadan Padang Merdeka, City Park

March 13, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua lagi tapak Bazar Ramadan dibuka di pusat bandar raya ini, selain di Lintasan Deasoka bagi memudahkan warga bandar raya dan pengunjung membeli juadah berbuka puasa sepanjang Ramadan tahun ini.

Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Junainah Abbie, berkata lokasi baharu itu ialah di Padang Merdeka dan City Park, berhadapan bangunan mahkamah lama.

Menariknya, beliau berkata DBKK turut membenarkan pengunjung bersantai di kawasan padang untuk berbuka puasa setelah membeli juadah di Bazar Ramadan Padang Merdeka dan di ruangan yang disediakan di City Park.

“Bagi merancakkan ekonomi tempatan, DBKK membuka dua lagi tapak Bazar Ramadan di pusat bandar raya yang boleh dijadikan pilihan orang ramai untuk mendapatkan juadah berbuka puasa sekeluarga.

“Tapak bazar yang dimaksudkan beroperasi di Padang Merdeka dan City Park (hadapan bangunan mahkamah lama). Kedua-dua Bazar Ramadan ini berbeza dengan bazar kendalian DBKK yang lain.

“Bagi Bazar Ramadan di Padang Merdeka, DBKK membenarkan pengunjung duduk bersantai di kawasan padang untuk berbuka puasa setelah membeli juadah berbuka mereka.

“Bazar Ramadan di City Park juga menyediakan ruang untuk pengunjung duduk menjamu selera dengan kelengkapan kerusi meja yang dibuka khas untuk orang awam erbuka puasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, Junainah mempelawa orang ramai untuk merasai pengalaman baharu berbuka puasa di kawasan terbuka di kedua-dua Bazar Ramadan itu dan menikmati suasana berbuka puasa bersama pengunjung lain.

Selain dua lokasi baharu Bazar Ramadan itu, lokasi Bazar Ramadan di bawah kendalian DBKK sebelum ini kekal beroperasi iaitu di Sembulan, Indah Permai, Pekan Tanjung Aru, Damai, Pasar Malam Inanam, Kingfisher dan Manggatal. – Info X