KENINGAU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas di Sungai Pegalan bukan sekadar perlumbaan siapa paling cepat menemui mangsa, sebaliknya dilaksanakan mengikut prosedur ketat demi keselamatan semua pihak.
Menerusi perkongsian di Facebook Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, pihaknya menjelaskan setiap tindakan dalam operasi SAR tertakluk kepada Standard Operating Procedure (SOP) yang mengutamakan nyawa anggota penyelamat.
Menurut kenyataan itu, pihak bomba tidak boleh mengarahkan anggota menggunakan kaedah berisiko seperti berhanyut dengan tong atau peralatan tidak standard kerana boleh mengundang bahaya selain melanggar SOP operasi.
“Sebarang tindakan di luar SOP bukan sahaja membahayakan anggota, malah boleh memberi implikasi perundangan kepada jabatan, komander operasi dan keluarga anggota,” menurut kenyataan itu.
BBP Keningau turut menjelaskan Sungai Pegalan mempunyai pelbagai risiko tersembunyi termasuk ancaman buaya selain fenomena ‘strainer’ dan ‘siphon’ akibat akar, kayu tumbang serta celahan batu di dasar sungai.
“Keadaan ini boleh memerangkap penyelamat di bawah arus deras dan amat sukar untuk melepaskan diri walaupun memakai jaket keselamatan,” katanya.
Menurutnya, operasi SAR yang dijalankan bukan sekadar menunggu, sebaliknya melibatkan strategi pembahagian sektor secara sistematik bersama agensi lain seperti polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Pasukan pertama memberi tumpuan kepada pencarian permukaan dan tebing dalam radius satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Pasukan kedua pula meluaskan pencarian sehingga lima kilometer melibatkan laluan Sungai Ansip hingga ke Sungai Melalap di Tenom,” katanya.
Selain itu, penggunaan dron turut dilaksanakan bagi memantau kawasan berisiko tinggi yang sukar diakses, manakala penggunaan bot adalah terhad berikutan keadaan sungai yang cetek, berbatu serta mempunyai halangan seperti kabel merentasi sungai.
Dalam pada itu, BBP Keningau menegaskan operasi tetap diteruskan tanpa henti walaupun berdepan cabaran ekstrem termasuk tebing curam, bongkah batu besar dan air keruh.
Katanya, kejayaan menemukan mangsa oleh pasukan sukarelawan atau penduduk kampung juga dianggap sebagai kejayaan bersama kerana mereka merupakan rakan strategik dalam operasi.
“Tiada istilah siapa lebih hebat. Matlamat kita hanya satu iaitu membawa mangsa pulang kepada keluarga,” katanya.
Bomba turut menghargai kerjasama penduduk Keningau yang terus memberi sokongan sepanjang operasi bersepadu dijalankan. – Info X