Search

Bomba selamatkan kanak-kanak terkunci dalam kereta

June 20, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun diselamatkan anggota bomba selepas terkunci di dalam kereta kira-kira 20 minit di parkir sebuah apartment di Jalan Bundusan, di sini, petang tadi.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.30 petang.

Katanya, sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang dikejarkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat mangsa.

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa kanak-kanak lelaki berusia setahun terkunci di dalam kereta jenis Proton Saga.

“Pasukan bomba bertindak membuka pintu kereta terkunci menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pasukan bomba menggunakan peralatan khas berjaya membuka pintu kereta berkenaan. – Foto/Bomba

Menurutnya, pintu kereta kemudian berjaya dibuka dan kanak-kanak lelaki dalam keadaan selamat.

“Mangsa diserahkan kepada ahli keluarganya dan operasi ditamatkan selepas memastikan tiada bahaya lain yang wujud di lokasi,” katanya. – Info X