PENAMPANG: Seorang lelaki berjaya diselamatkan daripada cubaan terjun dari tingkat tiga sebuah apartmen di Jalan Bundusan, di sini, malam tadi.
Kejadian kira-kira jam 11 malam itu, lelaki berusia 29 tahun terbabit dilihat berdiri di atas pagar besi di tingkat tiga apartmen berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penolong Penguasa Bomba, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.19 malam sebelum tujuh anggota dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, pasukan operasi mendapati seorang lelaki dewasa cuba terjun di tingkat tiga apartmen berkenaan.
“Pasukan bomba berjaya menyelamatkan lelaki terbabit selepas memujuknya dengan bantuan ibu dan isterinya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa dilaporkan selamat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi kemudiannya ditamatkan pada jam 12.43 tengah malam,” katanya. – Info X