Search

Bot bocor akibat terlanggar kayu hanyut, 6 termasuk 3 beranak diselamatkan

July 21, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Enam individu termasuk dua kanak-kanak berjaya diselamatkan selepas bot fiber dinaiki mereka mengalami kebocoran di perairan Pulau Timbun Mata, Kunak, semalam.

Semua mangsa iaitu Lajim Paisal, 37, bersama dua anaknya berusia enam dan 10 tahun dan tiga lagi iaitu Adim Salemu, 42, Aswan Mohd Akram, 29 dan Fauzi Saikula, 30, diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Lahad Datu.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, pihaknya menerima maklumat kecemasan pada jam 1.45 petang daripada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kota Kinabalu yang memaklumkan insiden berkenaan.

Katanya, bot berkenaan ditugaskan menghantar bekalan air reverse osmosis (RO) ke Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) sebelum dikatakan terlanggar kayu hanyut dan mengalami kebocoran.

“Bot Banggi 45 yang ketika itu sedang menjalankan rondaan rutin, segera digerakkan ke lokasi dan menemui semua enam mangsa di perairan Pulau Batik, Kunak.

Lajim bersama dua anaknya dihantar pulang ke Jeti Perikanan Lahad Datu dengan selamat oleh anggota APMM Lahad Datu. – Pix/APMM

“Keadaan laut yang cetek menyebabkan usaha menyelamat menggunakan bantuan pam bot. Semua mangsa berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, Lajim bersama dua anaknya dihantar pulang ke Jeti Perikanan Lahad Datu dengan selamat.

“Manakala tiga lagi mangsa menunggu ketibaan bot syarikat untuk kerja pembaikan bot fiber sebelum selamat tiba di darat jam 2 pagi tadi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya menasihatkan semua pengendali bot supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dengan memakai jaket keselamatan sepanjang pengendalian bot.

“Ini bukan sahaja prosedur operasi standard, tetapi juga langkah penting untuk menggelakkan kehilangan nyawa sekiranya berlaku insiden ketika di laut.

“Sebarang maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan maritim boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu melalui WhatsApp di talian 016-9305727 atau menghubungi 999,” katanya. – Info X