Search

Bot hampir karam, tiga nelayan diselamatkan

February 27, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Tiga nelayan berdepan detik cemas selepas bot dinaiki mereka mengalami kebocoran dan hampir karam ketika menangkap ikan di laut Kuala Pitas, di sini, semalam.

Bagaimanapun, tiga lelaki berusia antara 18 hingga 52 tahun berjaya diselamatkan bot ronda Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan, 1.30 tengah hari.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat orang awam mengenai kejadian itu pada 10.50 pagi sebelum bot ronda PPM digerakkan ke lokasi berkenaan untuk memberi bantuan.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat turut dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Sandakan.

Bot dinaiki tiga mangsa mengalami kebocoran dan hampir karam ketika menangkap ikan di laut Kuala Pitas, Sandakan. – Foto/PPM

“Semua tiga nelayan itu berjaya ditemui di kawasan Sungai Tanjung Batu, kira-kira jam 1.30 tengah hari.

“Pasukan PPM kemudian menyelamatkan ketiga-tiga nelayan terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, sebelum itu ketiga-tiga mangsa keluar ke laut untuk menangkap ikan sejak pagi semalam.

“Semua mangsa dipercayai dari laut Bambangan ke Kertam untuk menangkap ikan sebelum terkandas akibat alami kebocoran di lokasi laut Kuala Pitas.

“Bot mereka mengalami kebocoran dan hampir karam namun mereka bertindak menimba air dalam bot bagi mengelak karam sebelum berjaya ditemui bot ronda PPM,” katanya.

Bot mangsa diiringi masuk ke Sandakan oleh Bot ronda PPM Sandakan. – Foto/PPM

Beliau berkata, bot ronda PPM kemudian mengiringi bot mangsa sehingga ke Kuala Tanjung Batu dan menyerahkan kepada sebuah lagi bot ronda untuk diiringi masuk ke Sandakan.

“Semua mangsa dalam keadaan baik dan selamat tiba di Kampung Bambangan,” katanya. – Info X