Search

Bot kargo sarat muatan barang kawalan ditahan APMM

March 20, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau menahan bot kargo tempatan yang sarat dengan muatan barang runcit dan barang kawalan di kedudukan 2.2 batu nautika selatan Tanjung Batu, di sini, Selasa lalu

Kapal peronda KM Medang yang menjalankan Ops Pagar Laut 1/2025 berjaya mengesan pergerakan bot kargo berkenaan yang bergerak dari arah Jeti Makmur menuju ke Pulau Sebatik, kira-kira jam 6 petang.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pemeriksaan awal mendapati bot kargo itu dikendalikan oleh seorang juragan lelaki warga tempatan berusia 30 tahun bersama seorang pembantu juga lelaki warga Indonesia berusia 25 tahun di atas bot berkenaan.

“Pemeriksaaan dokumentasi seterusnya mendapati juragan gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan barang kawalan yang dibawa dan hanya mempunyai dokumen pengikraran barangan runcit ke Pulau Sebatik.

“Juragan seterusnya ditahan bersama bot kargo dan muatan barang kawalan serta diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pasukan APMM Tawau menahan sebuah bot kargo sarat muatan barang kawalan tanpa permit.

Menurutnya, hasil penggeledahan ke atas bot kargo itu menemui sejumlah 2,110 kilogram gula pasir serta 820 kilogram minyak masak berpaket di dalam bot kargo berkenaan.

Katanya, semua barangan kawalan termasuk bot kargo dan enjin bot disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM40,000.

“Siasatan juga akan dijalankan ke atas unsur penyeludupan ke negara jiran berikutan permintaan pada musim perayaan.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Sementara itu, katanya APMM akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah(ESSZONE).

“Kerjasama dengan agensi-agensi lain akan terus diperkukuhkan demi memastikan undang undang negara sentiasa dipatuhi.

“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999,” katanya. – Info X