LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan kerana menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan di perairan timur laut Kunak Jaya, semalam.
Tangkapan oleh bot peronda Maritim Malaysia Zon Maritim Lahad Datu itu dilakukan ketika menjalankan rondaan menerusi Operasi Pluto Timur, jam 4.15 petang.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot itu melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan pada jarak kurang 0.8 batu nautika.
Katanya, Zon Maritim Lahad Datu juga menahan tiga lelaki tempatan bersama seorang warga Filipina berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.
“Tekong, awak-awak bersama bot ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
“Zon Maritim Lahad Datu akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang sebarang perlanggaran undang-undang dan perlakukan jenayah di perairan daerah ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai khususnya komuniti maritim diminta untuk bekerjasama menyalurkan maklumat ataupun aduan ke Zon Maritim Lahad Datu yang beroperasi 24 jam di talian 089-885727 atau MERS 999. – Info X