KUDAT: Sebuah bot nelayan Vietnam bertindak agresif dengan merempuh bot milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) apabila mereka cuba ditahan dalam kejadian di perairan daerah ini, baru-baru ini.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari, Sabtu lalu itu, bot terbabit yang dipercayai sudah mengaut sekurang-kurangnya tiga tan hasil laut di sekitar perairan negara bagaimanapun berjaya ditahan.
Pengarah Zon Maritim Kudat Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bot nelayan asing terbabit dikesan pasukan operasi ketika dipercayai sedang leka mengaut hasil laut negara di kedudukan lebih kurang 118 batu nautika Barat Laut dari Tanjung Simpang Mengayau, di sini.
“Semasa proses penahanan dan penangkapan, bot nelayan asing terbabit bertindak agresif dengan melanggar dan merempuh KM (Kapal Maritim) Arau sehingga berlakunya kerosakan.
“Walaupun bot KM Arau turut mengalami kerosakan kecil namun usaha penahanan berjaya dilakukan,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Maurice Grenville berkata, hasil pemeriksaan terhadap bot terbabit mendapati terdapat seramai 41 kru termasuk tekong berusia lingkungan 18 hingga 58 tahun, kesemuanya warga Vietnam.
Katanya, pemeriksaan dokumentasi mendapati bot nelayan asing berkenaan beroperasi di perairan negara secara haram apabila gagal mengemukakan sebarang dokumentasi berkaitan.
“Selain itu, pasukan operasi turut mendapati sebanyak tiga tan hasil laut yang ditemui di dalam bot berkenaan.
“Siasatan awal mendapati, bot berkenaan menggunakan modus operasi dengan melepaskan sampan-sampan kecil bagi menangkap sotong sebelum hasilnya dikumpulkan pada kapal induk berkenaan,” katanya.
Maurice Grenville berkata, bot nelayan asing berkenaan disyaki bot induk berdasarkan kepada bilangan kru, saiz bot serta muatan yang dibawa.
Bagaimanapun, katanya, siasatan akan diteruskan bagi tujuan pengesahan sebelum tindakan selanjutnya diambil.
“Bot, kru dan semua hasil laut seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Kudat untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM 1.5 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit yang sah,” katanya. – Info X