Search

Bot penumpang tanpa dokumen ditahan di perairan Kota Kinabalu

December 28, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan menahan sebuah bot penumpang yang mencurigakan ketika menjalankan operasi pemeriksaan rutin di perairan Kota Kinabalu, kira-kira 1.01 batu nautika barat laut Tanjung Lita, hari ini.

Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, bot berkenaan dikendalikan oleh seorang juragan dan dua kru yang dipercayai warganegara Filipina berusia antara 14 hingga 39 tahun.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua individu terbabit gagal mengemukakan pasport, dokumen perjalanan atau permit sah ketika diminta.

“Susulan itu, bot penumpang bersama juragan dan kru ditahan bagi siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan aset dianggarkan berjumlah kira-kira RM30,000.

Dalam pada itu, Khairulanuar menegaskan APMM akan terus mempergiat rondaan serta penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088-387774 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya. – Info X