SANDAKAN: Kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas apabila bot yang dinaiki bersama lima lagi penumpang lain karam di 0.2 batu nautika Tanjung Batu, di sini, petang tadi.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada 4 petang, bagi mengesan mangsa disamping pangkalan Hadapan Carilamat diwujudkan bagi mengkoordinasi pencarian berkenaan.

Katanya, mangsa Romy Azlan, 7, bersama enam keluarganya termasuk dua kanak-kanak menaiki bot berkenaan dipercayai bertolak dari jeti Pulau Timbang menuju ke Kampung Mumiang.
“Bot itu kemudiannya dipercayai terlanggar satu objek terapung menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbalik,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, Bot Peronda Banggi 14 dan Bot Kilat 8 dari Zon Maritim Sandakan diarahkan ke lokasi kejadian untuk melaksanakan
pencarian awal mangsa.

“Turut membantu pencarian Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan bot nelayan tempatan.
“SAR ditangguhkan pada 6.30 petang dan akan disambung semula pada 7 pagi esok,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu diminta berhubung secara terus kepada Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Sandakan ditalian 089-229504 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah 088-387774 yang beroperasi 24 jam. – Info X