Search

‘Buat laporan polis, saman jika video tular adalah fitnah’ – Suhaimi Nasir

December 6, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Selepas mendesak Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, meletak jawatan, UMNO Sabah hari ini menggesa Hajiji dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dikaitkan dengan skandal rasuah membuat laporan polis dan menyaman individu yang didakwa memfitnah mereka.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, berkata Hajiji dan semua ADUN kerajaan yang terbabit perlu mengambil tindakan tegas berhubung tuduhan serius yang didedahkan pemberi maklumat.

“Saya dengan ini mendesak YAB Ketua Menteri dan ADUN-ADUN Sabah yang terlibat untuk mengambil tindakan tegas berhubung tuduhan serius yang telah dibuat oleh pemberi maklumat terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Tuduhan-tuduhan tersebut bukan sahaja telah mencemarkan nama baik YAB Ketua Menteri Sabah dan Kerajaan Sabah, tetapi juga menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi pentadbiran negeri serta pelabur.

“Pentadbiran Kerajaan Negeri bertanggungjawab memastikan ia beroperasi dengan penuh integriti dan bebas daripada sebarang unsur fitnah atau tohmahan tidak berasas.

“Oleh itu, YAB Ketua Menteri dan ADUN-ADUN terlibat harus membuat laporan polis dan tindakan saman untuk menyampaikan mesej tegas bahawa tuduhan palsu tidak akan diterima dan membolehkan kebenaran ditegakkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau merujuk video tular beberapa ADUN kerajaan yang didakwa skandal rasuah dan salah guna kuasa dikaitkan dengan urusan perlombongan mineral di negeri ini.

Video itu memaparkan temubual pemberi maklumat dengan ADUN yang terbabit berhubung urusan didakwa berbaur rasuah dan didedahkan melalui sebuah portal berita, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Libaran itu berkata, beliau akan terus memantau perkembangan isu itu dan memberikan sokongan penuh kepada mana-mana pihak yang berusaha untuk menegakkan kebenaran dan keadilan.

“Tindakan tegas ini adalah perlu untuk memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri terus dihormati dan dipercayai oleh rakyat,” katanya. – Info X