KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang perunding syarikat kerana disyaki mengemukakan tuntutan lebih RM400,000 menggunakan dokumen mengandungi butir matan palsu kepada sebuah agensi kerajaan negeri.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 50an dipercayai mengemukakan tuntutan palsu membabitkan pembekalan mesin kepada usahawan membabitkan dana Program Bantuan Industri Kecil Sederhana (BAIKS),
“Perbuatan berkenaan telah dilakukan suspek sekitar tahun 2023 sedangkan mesin tidak dibekalkan oleh syarikat suspek.
“Suspek ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi ketika hadir bagi memberi keterangan di SPRM Sabah,” katanya, hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Karunanithy A/L Y Subbiah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17 & 18 Akta SPRM 2009.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu bagi tujuan permohonan reman esok pagi,” katanya. – Info X