Search

Buaya baham lembu ditembak mati

October 24, 2024

Info X Reporters

LAHAD DATU: Jabatan Hidupan Liar (JHL) menembak mati seekor buaya jantan di ladang kelapa sawit di Blok 25, Felda Sahabat, di sini, Isnin lalu.

Buaya dari spesis tembaga yang dianggarkan seberat lebih 250 kilogram itu ditemui selepas dikatakan membaham seekor lembu.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu, Sylvester Saimin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung buaya di kawasan ladang berkenaan daripada penduduk kampung.

Katanya, kehadiran buaya berkenaan dikatakan menimbulkan kebimbangan penduduk selepas ia membaham seekor lembu.

“Buaya jantan sepanjang lebih empat meter berkenaan berjaya ditemui di kawasan anak sungai kecil.

“Pasukan operasi JHL terus menembak mati haiwan berkenaan menggunakan dua das tembakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sylvester berkata, disebabkan haiwan berkenaan bersaiz besar, pasukan operasi terpaksa menggunakan jentolak untuk mengangkat buaya berkenaan bagi dipindahkan ke lokasi lain.

Katanya, bangkai haiwan berkenaan kemudiannya dilupuskan dengan cara ditanam. – Info X