Search

Buaya seberat 200 kg berjaya ditangkap

October 28, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Seekor buaya seberat kira-kira 200 kilogram berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selepas muncul di kolong rumah penduduk di Kampung Sungai Obar, Batu 7, awal pagi tadi.

Kehadiran reptilia sepanjang 2.7 meter itu disedari penduduk yang ketakutan apabila haiwan berkenaan dilihat mengejar seekor anjing sebelum berlindung di bawah rumah berkenaan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sandakan, Sulaiman Salama berkata, APM menerima aduan daripada penduduk yang bimbang selepas menyedari kehadiran reptilia berhampiran rumah penduduk pada jam 1.42 pagi.

Anggota APM berjaya menangkap buaya seberat kira-kira 200 kilogram di Kampung Sungai Obar, Batu 7, Sandakan. – Pix/APM

Katanya, seorang pegawai bersama tujuh anggota pergi ke lokasi itu untuk melaksanakan tugas menangkap haiwan.

“Pasukan APM bertindak pantas menjerut serta menutup mata buaya menggunakan tali, penyepit dan selimut bagi mengelak haiwan itu bertindak agresif.

“Anggota mengambil masa 49 minit untuk menangkap buaya itu. Tiada kecederaan atau insiden tidak diingini berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sulaiman turut menasihatkan orang ramai khususnya yang tinggal berhampiran sungai agar sentiasa berwaspada dan menghubungi pasukan berkuasa sekiranya melihat haiwan liar di kawasan mereka. – Info X