Search

Budak 13 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Pegalan

February 26, 2024

Info X Reporters

KENINGAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun dikhuatiri lemas di Sungai Pegalan, Kampung Panagatan, di sini, petang tadi.

Mangsa Aloysius Alfred, 13, dikhuatiri lemas ketika mandi bersama lima rakannya.

Difahamkan, seorang lagi rakan mangsa yang lemas bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh datuknya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Sharudy Delamin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.50 petang.

Katanya, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama sembilan pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

“Menurut maklumat saksi, mangsa dipercayai sedang menjalankan aktiviti mandi manda bersama lima rakannya.

“Pasukan bomba berada di lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat dan seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan msngsa dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pasukan bomba bersama penduduk kampung menjalankan operasi SAR di kawasan sungai mangsa dilaporkan hilang. – Foto/Bomba

Menurutnya, mangsa belum ditemui dan operasi pencarian masih diteruskan.

“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X