Search

Bukan perlekeh SMJ, tapi di mana majunya, soal Bung Moktar

March 25, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Bukan memperlekeh atau meremehkan slogan Sabah Maju Jaya (SMJ) tetapi keadaan rakyat dan prasarana tiada yang majunya, tiada yang berjayanya.

Demikian antara kata-kata yang diungkapkan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menerusi sebuah rakaman video pada satu majlis berbuka puasa.

Bung Moktar dipercayai menjawab dakwaan yang mengatakan tindakan mempersoalkan kejayaan pelan hala tuju SMJ yang dilaksanakan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) umpama meremehkan slogan rasmi jata negeri Sabah itu.

“Hari ini masuk empat tahun pemerintahan GRS dengan slogan Sabah Maju Jaya. Hari ini YAB Ketua Menteri menjelaskan, dia kata pembangkang sengaja meremehkan slogan SMJ.

“Sebetulnya kita tidak meremehkan Sabah Maju Jaya sebab ia jata negeri Sabah tetapi apa yang rakyat pertikaikan, di semua penjuru ada Sabah Maju Jaya, tapi keadaan rakyat, keadaan prasarana rakyat tidak ada yang majunya, tidak ada yang berjayanya,” katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata Sabah menjadi negeri yang termiskin di seluruh negara berdasarkan data dari 1964 hingga sekarang, malah ditambah lagi dengan lapan daerahnya disenaraikan termiskin di negara ini.

“Saya walaupun dalam pembangkang, saya melihat bahawa tidak ada perkara yang mustahil untuk mengeluarkan Sabah ini daripada kemiskinan.

“Yang penting pemimpin kena berani dan kena ada tekad memajukan negeri Sabah.

“Jadi sudah tiba masanya, firman Allah dalam al-Quran menyatakan bahawa Allah tidak mengubah untung nasib umatnya melainkan umat itu sendiri mahu berubah.

“Jadi, kalau mahu berubah kita ubah melalui Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) kali ini,” katanya.

PRN17 dijangka diadakan selewat-lewatnya pada akhir tahun depan berdasarkan tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sekarang yang dijadual tamat pada Oktober 2025. – Info X