Search

Bung Moktar bimbang program IPR belum menyeluruh di luar bandar Sabah

June 8, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin meluahkan kebimbangannya terhadap pelaksanaan Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang belum menyeluruh di luar bandar Sabah.

Beliau berkata, sebagai wakil rakyat di kawasan luar bandar, beliau terpanggil menyuarakan perkara itu sejajar kepentingan IPR sebagai dasar utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).

Katanya, walaupun dirangka dengan baik, pelaksanaannya di kawasan pedalaman Sabah belum menyeluruh, sedangkan kawasan berkenaan paling memerlukan sokongan ekonomi yang bersasar.

“Kemiskinan tegar di Sabah berada pada kadar 1.2 peratus, enam kali ganda lebih tinggi berbanding purata nasional (0.2 peratus). Ini bukan sekadar statistik tetapi bukti nyata jurang pembangunan yang masih ketara.

“Realitinya, ramai rakyat Sabah terutamanya ibu tunggal, warga emas dan belia luar bandar masih hidup dalam kekurangan, bukan kerana mereka tidak mahu berusaha tetapi kerana kurangnya akses kepada peluang dan bantuan.

“Justeru, saya mencadangkan agar Kementerian Ekonomi menstruktur semula pelaksanaan IPR agar lebih bersifat menyeluruh dan inklusif di Sabah.

“Pendekatan bersemuka atau ‘outreach program’ perlu dijadikan strategi utama, dengan libat urus secara fizikal di balai raya, sekolah, rumah ibadat dan pusat komuniti, serta kerjasama erat bersama ketua kampung, JKKK dan NGO. Kerajaan perlu hadir kepada rakyat, bukan sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan.

Bung Moktar meninjau peniaga di Pasar Tawau baru-baru ini.

Ketua UMNO Sabah itu, berkata dasar pusat seperti IPR perlu diterjemahkan dengan memahami konteks sebenar rakyat di akar umbi dari segi geografi, budaya dan realiti ekonomi tempatan.

Jelasnya, Sabah mempunyai potensi luar biasa jika dasar berkenaan dilaksanakan secara adil dan bersasar.

“Sudah tiba masanya untuk kerajaan melihat Sabah bukan sekadar negeri termiskin tetapi sebagai rakan pembangunan strategik yang mampu menyumbang secara signifikan kepada masa depan negara.

“Saya percaya, dengan pelaksanaan IPR yang diperkasa, Sabah mampu keluar daripada kitaran kemiskinan dan menuju ke arah masa depan yang lebih sejahtera,” katanya. – Info X