KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dilaporkan sakit dan kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital, di sini.
Berdasarkan beberapa perkongsian daripada pemimpin UMNO Sabah, masing-masing mendoakan kesembuhan buat Ahli Parlimen Kinabatangan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu.
Mereka turut memohon orang ramai agar sama-sama mendoakan kesembuhan beliau dan dipermudahkan segala urusan.
Antara yang berkongsi perkara itu ialah Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
“Doa kami sekeluarga semoga Datuk Seri Bung mendapat kesembuhan segera. Semoga Allah SWT mempermudahkan segalanya,” katanya dalam Facebook beliau.
Turut mendoakan kesembuhan Bung Moktar ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Saya mendoakan agar YB Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin diberikan kesembuhan segera serta dipermudahkan segala urusan rawatan beliau.
“Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, ketabahan dan perlindungan kepada beliau serta seluruh ahli keluarga dalam menghadapi ujian ini.
“Sesungguhnya setiap dugaan ada hikmahnya, insha Allah, mudah-mudahan beliau segera pulih dan kembali seperti sediakala,” katanya.
Sementara itu, anak Bung Moktar, Naim Moktar dalam perkongsian di Facebook beliau mengucapkan terima kasih kepada seluruh imam di Lamag yang mengadakan solat hajat untuk kesembuhan ayahnya.
“Selaku wakil keluarga, saya ingin menyampaikan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh imam di Lamag yang telah berusaha mengadakan solat hajat serta memohon doa kepada Allah SWT demi kesihatan ayahanda saya.
“Doa dan keprihatinan para imam-imam amat kami hargai dan menjadi sumber kekuatan kami sekeluarga.
“Semoga Allah SWT memberkati segala usaha dan mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda kepada tuan-tuan,” katanya.
Bung Moktar dilaporkan tidak sihat sejak kempen Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.
Beliau turut mengundi pada Sabtu lalu dan berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi. – Info X