KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) memulangkan paku buah keras terhadap pemimpin UMNO Sabah yang mendesak Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, meletakkan jawatan.
Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Lamag, Johainizamshah Johari, berkata desakan itu tidak berasas memandangkan tiada sebarang tuduhan atau kenyataan rasmi daripada pihak yang berkaitan, melainkan hanya spekulasi.
Sebaliknya, beliau berkata pemimpin UMNO Sabah perlu menasihatkan ketua mereka, Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk meletak jawatan sebagai Ketua UMNO Sabah kerana sudah jelas berdepan kes rasuah yang sedang dalam proses mahkamah.
Katanya, kes dihadapi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu jelas menggambarkan krisis integriti, reputasi dan kredibiliti yang dihadapi pemimpin itu dan UMNO Sabah secara keseluruhannya.
“Kes rasuah Bung Moktar tidak hanya mencemarkan nama beliau tetapi turut memberi impak negatif terhadap kepercayaan rakyat kepada kepimpinan negeri termasuk institusi Dewan Rakyat (Parlimen Malaysia) dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Adalah lebih bermaruah jika Bung Moktar mengambil langkah melepaskan jawatan secara sukarela untuk memberi laluan kepada individu yang lebih berintegriti dan berwibawa demi kebaikan parti itu yang semakin terhakis sokongan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, tindakan mendesak dan mencadangkan pelantikan atau pengunduran pemimpin tanpa sebab yang kukuh boleh mengundang keretakan hubungan di antara Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan dan negeri Sabah yang dilihat menguntungkan pembangkang dan menjejaskan kestabilan politik.
Katanya, semua pihak perlu menghentikan spekulasi berkaitan isu klip video dengan segera dan membiarkan pihak berkuasa menyelesaikan siasatan.
“Lebih penting, kita harus menghentikan taktik politik kotor yang cuba membunuh watak pemimpin kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-PH Plus, yang kini semakin mendapat perhatian dan sokongan rakyat atas prestasi cemerlang dalam mentadbir negeri.
“Fokus utama sekarang adalah kebajikan rakyat dan pelaksanaan dasar kerajaan negeri sebagaimana yang dibentangkan dalam Belanjawan Negeri Sabah baru-baru ini.
“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan kestabilan dan pembangunan negeri terus menjadi keutamaan agar negeri Sabah yang kita cintai ini terus membangun dan maju setanding negeri-negeri lain,” katanya.
Beliau berkata, pemimpin perlu menunjukkan kematangan dalam berpolitik, menjunjung nilai integriti dan sentiasa mendahulukan rakyat dalam segala tindakan.
Katanya, politik kotor, menabur fitnah tanpa bukti kukuh kesalahan seseorang pemimpin, hanya kerana kepentingan politik peribadi dan kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) menjelang tiba harus dihentikan. – Info X