TAWAU: Seorang lelaki dipercayai membunuh isterinya sebelum bertindak mengelar leher sendiri menggunakan sebilah sabit di sebuah rumah pekerja di Ladang Felda Umas 6, Jalan Kalabakan, di sini, semalam.
Suspek warga Indonesia berusia 38 tahun kini menerima rawatan di Hospital Tawau dan dilaporkan stabil, manakala isterinya, 37, ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 4.55 petang.
Katanya, pemeriksaan di lokasi mendapati mangsa juga warga Indonesia mengalami kecederaan pada bahagian kepala, leher dan tangan.

“Polis turut menemukan dan merampas beberapa barang kes termasuk sebilah sabit serta sebatang kayu bagi membantu siasatan.
“Susulan kejadian, suspek yang juga suami mangsa ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rosdi berkata, siasatan lanjut mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada masalah hubungan rumah tangga selepas pasangan berkenaan kembali daripada bercuti.
“Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Katanya lagi, polis masih menjalankan siasatan menyeluruh termasuk pemeriksaan forensik, analisis DNA, laporan perubatan dan bedah siasat bagi melengkapkan siasatan.
“Sebarang pengakuan awal suspek masih tertakluk kepada pengesahan melalui bukti lain yang diperoleh sepanjang siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Tawau, Asisten Superintendan Maliki Majuni di talian 017-898 9171 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Info X