TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mencabul teman wanitanya di dalam sebuah kereta di kawasan Megah Jaya, di sini, semalam.
Suspek berusia 23 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada 12.01 tengah malam selepas menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 7.43 malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai menyentuh beberapa bahagian tubuh mangsa secara paksa setiap kali mereka bertemu.
“Suspek juga didakwa pernah memaksa mangsa melakukan perbuatan tidak senonoh, namun ditolak wanita terbabit.
“Lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rosdi berkata, polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan cabul atau gangguan seksual dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya menjaga keselamatan diri dan keluarga serta segera melaporkan sebarang kejadian mencurigakan kepada polis. – Info X