TAWAU: Tidak cukup dengan tindakan mencalarkan kereta jiran, seorang lelaki bertindak lebih berani apabila mengugut mangsa dengan pisau dalam kejadian di Taman Ria 3, di sini, Jumaat lalu.
Kejadian jam 8.27 pagi itu berlaku apabila seorang lelaki berusia 35 tahun menyedari keretanya diconteng dan dicalarkan, sebelum menegur jirannya yang disyaki melakukan perbuatan khianat itu.
Bagaimanapun, suspek yang tidak berpuas hati dikatakan terus naik angin lalu mengacukan sebilah pisau ke arah mangsa sambil menghamburkan ugutan, menyebabkan mangsa ketakutan dan membuat laporan polis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin bin Piuh berkata, bertindak atas laporan yang diterima, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan siasatan sebelum melakukan serbuan di kawasan kejadian.
“Hasil serbuanitu, polis berjaya menahan suspek kira-kira jam 3.15 petang, semalam berhampiran kediaman mangsa.
“Turut dirampas, sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian ugutan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, suspek warga tempatan berusia 44 tahun itu kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.
Tambah beliau, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau membabitkan kes di bawah Akta Pencegahan Dadah (APD) dan Akta Dadah Berbahaya (ADB) masing-masing pada 2012 dan 2025.
“Pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk keganasan atau ancaman yang boleh mengganggu-gugat keselamatan awam.
“Kami menyeru orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kejadian jenayah atau perlakuan mencurigakan supaya keselamatan komuniti sentiasa terpelihara,” katanya. – Info X