KUDAT: Polis Sabah menumpaskan sindiket perjudian atas talian selepas menyerbu tiga bilik di tingkat tujuh sebuah kompleks beli belah yang disyaki dijadikan ‘calling center’ (pusat panggilan) di Jalan Pintas, Penampang, semalam.
Dalam serbuan jam 12.15 tengah hari menerusi Op Dadu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, seramai 39 termasuk 20 wanita warga tempatan, China dan Indonesia ditahan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, bertindak atas maklumat berkenaan perjudian atas talian, sepasukan pegawai dan anggota D7 IPK Sabah menyerbu bangunan berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan terdapat tiga bilik yang berpenghuni dan disyaki menjalankan kegiatan perjudian ‘calling center’.
“Hasil pemeriksaan di ketiga-tiga bilik itu menahan 39 individu terdiri daripada 19 lelaki dan 20 wanita berusia 20 hingga 40 tahun disyaki bekerja sebagai mempromosi perjudian atas talian.

“Mangsa mereka dipercayai dari beberapa negara luar,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kudat antara Deputi Superintendan Robin@Ridzuan Ismail dan Superintendan Mohd Haris Ibrahim di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sabah, Senior Asisten Komisioner Azmi Abdul Rahim.Azmi turut hadir di lokasi serbuan berkenaan, semalam.
Mengulas lanjut, Jauteh berkata, pihaknya turut merampas peralatan perjudian atas talian yang digunakan di dalam bangunan berkenaan.
“Antara rampasan iaitu 74 monitor komputer pelbagai jenama, 38 pemprosesan komputer (CPU) dan 22 buah telefon bimbit pelbagai jenama.
“Hasil siasatan awal mendedahkan sindiket ini dipercayai sudah beroperasi selama lebih dari enam bulan,” katanya.

Katanya, premis berkenaan disewa oleh sindiket berkenaan bagi menjalankan kegiatan perjudian ‘calling center’.
“Pekerja diberi gaji RM1,500 dan dibayar melalui akaun.
“Soal siasat terhadap semua tangkapan mendedahkan mereka bekerja ditempat itu selepas terbaca iklan di Facebook yang menawarkan pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“JSJ Sabah akan terus mengambil tindakan maksimum ke atas aktiviti judi terutama yang berkaitan judi atas talian berpremis dengan mempertingkatkan maklumat risikan dan operasi sepertimana yang telah diamanahkan,” katanya. – Info X