KOTA KINABALU: Senarai calon berpotensi dari Sabah dan Sarawak sebagai Ahli Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sudah dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Kementerian Kewangan (MoF).
Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Jonnybone Kurum berkata, pperkara itu dibincangkan semasa mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) pada Disember tahun lalu dan April tahun ini.
“Kedua-dua kerajaan Sabah dan Sarawak sudah mengemukakan senarai calon mereka dan Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) juga telah menyerahkan nama calon berkenaan kepada MoF,” kata Jonnybone.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking yang meminta kerajaan Sabah mencontohi Sarawak dan mengemukakan calon bagi jawatan lembaga pengarah LHDN.
Mengulas lanjut, Jonnybone yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid berkata, semua pihak telah melakukan tugas masing-masing dan semuanya dalam proses perlantikkan.
“Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah melakukan tugas mereka dan menyelesaikan isu tersebut seperti yang termaktub dalam MA63 dan Perlembagaan.
“Kerajaan GRS sangat teliti dan mereka sedar dan tahu tentang hak mereka.
“Jangan risau. GRS sudah jauh ke hadapan dan telah menguruskan semua perkara,” kata. – Info X