KUALA LUMPUR: Carlsberg Brewery Malaysia Berhad mengumumkan kerjasama strategik bernilai RM600,000 bersama Dana Hutan Malaysia (Malaysia Forest Fund, MFF) bagi menyokong usaha pemuliharaan biodiversiti hutan negara menerusi program Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) baharunya, Brewing Tomorrow.
Kerjasama itu menandakan langkah pertama syarikat berkenaan dalam bidang pemuliharaan hutan, sekali gus memperkukuh komitmen terhadap penyelesaian berasaskan alam semula jadi yang sejajar dengan keutamaan negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Majlis simbolik kerjasama berkenaan berlangsung di Kediaman Duta Denmark ke Malaysia sempena sambutan Hari Antarabangsa Kepelbagaian Biologi 2026, sekali gus menzahirkan sokongan syarikat terhadap usaha melindungi ekosistem dan biodiversiti negara.
Pengarah Urusan Carlsberg Malaysia, Stefano Clini berkata, inisiatif itu mencerminkan tumpuan syarikat terhadap usaha memelihara ekosistem yang menjadi asas penting kepada kelestarian alam sekitar dan operasi perniagaannya.

Beliau berkata, air merupakan bahan utama dalam setiap penghasilan produk syarikat dan kualiti serta ketersediaannya bergantung secara langsung kepada kesihatan ekosistem hutan.
“Melindungi hutan dan biodiversiti amat penting bukan sahaja untuk ketahanan alam sekitar, malah demi manfaat komuniti serta sektor perniagaan.
“Menerusi kerjasama dengan Malaysia Forest Fund ini, kami menyalurkan RM600,000 bagi menyokong pemuliharaan biodiversiti hutan. Kami percaya usaha melindungi alam semula jadi merupakan tanggungjawab bersama dan kerjasama seperti ini menjadi permulaan kepada hubungan jangka panjang yang berteraskan akauntabiliti serta kelestarian,” katanya.
Melalui kerjasama itu, satu tabung pembiayaan khas akan diuruskan oleh MFF, dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar dijemput memohon geran bagi melaksanakan projek pemuliharaan biodiversiti hutan di seluruh negara.
Inisiatif itu dijangka memberi tumpuan kepada perlindungan dan pemulihan ekosistem kritikal termasuk simpanan karbon hutan, kawasan tadahan air serta biodiversiti tempatan, di samping membantu komuniti yang bergantung kepada sumber semula jadi berkenaan.
Sebagai ahli pengasas Green Transition Alliance (GTA), inisiatif utama yang dipimpin Kedutaan Denmark di Malaysia, Carlsberg Malaysia turut menyokong tindakan kolektif dalam memperkukuh pemuliharaan biodiversiti dan pengurusan alam sekitar menerusi kerjasama sektor awam dan swasta.
Sementara itu, Duta Kesatuan Eropah ke Malaysia, Rafael Daerr berkata, hutan memainkan peranan penting sebagai penyerap karbon selain menjadi tunjang kepada biodiversiti dan ketahanan perubahan iklim.
Katanya, usaha memperkukuh perlindungan ekosistem kini semakin relevan apabila elemen kelestarian semakin diberi perhatian dalam kerangka ekonomi dan perdagangan global.
Pada majlis sama, Pengarah Hal Ehwal Korporat dan Kelestarian Carlsberg Malaysia, Pearl Lai membentangkan program ESG Brewing Tomorrow yang merangkumi empat teras utama iaitu Pengurangan Karbon, Perlindungan Alam Semula Jadi, Pilihan Bertanggungjawab dan Pemerkasaan Masyarakat.

Dalam pada itu, MFF turut memperkenalkan mekanisme Sijil Pemuliharaan Hutan serta membuka permohonan kepada NGO alam sekitar untuk mendapatkan pembiayaan di bawah dana RM600,000 berkenaan.
Kerjasama itu dilihat mampu menyumbang kepada agenda biodiversiti negara, di samping memperkukuh daya tahan dan kelestarian operasi syarikat dalam jangka panjang. – Info X