KOTA KINABALU: Sebuah platform penyiaran digital diwujudkan dalam usaha memperkenalkan Sabah dan mengetengahkan keunikan serta daya tarikannya ke seluruh dunia.
Saluran baharu yang dinamakan Borneo.TV itu dilancarkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Selasa bagi mengetengahkan wajah, suara dan budaya Sabah ke peringkat antarabangsa.
Dengan slogan ‘Cerita Sabah di Mata Dunia’, TV digital itu disasar bakal menjadi saluran utama menyampaikan kandungan sahih, dokumentari asli, seni budaya dan keindahan alam semula jadi Sabah.
Hajiji berkata, ia satu inisiatif yang menggunakan pendekatan digital yang lebih moden, fleksibel dan global untuk memperkenalkan Sabah ke seluruh dunia.
“Ini bukan sekadar pelancaran media digital tetapi satu pentas untuk anak-anak Sabah berkarya dan membentuk citra negeri melalui naratif sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Borneo.TV di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu pada Selasa.
Hajiji berkata, pelancaran Borneo.TV adalah langkah tepat dalam era media penstriman Over-The-Top (OTT) yang tidak lagi bergantung kepada saluran konvensional, selain memberi peluang kepada pencipta kandungan tempatan menembusi pasaran lebih luas.
“Perubahan gaya hidup masyarakat hari ini, daripada komunikasi hingga hiburan, segalanya dipacu digital. Borneo.TV adalah respon tepat kepada perubahan ini dan peluang untuk kita tampil dengan kandungan sendiri,” katanya.
Jelasnya, kerajaan negeri memberi sokongan penuh terhadap pelaksanaan Borneo.TV kerana ia bukan saja platform penyiaran, malah medium strategik menyampaikan cerita sebenar rakyat Sabah kepada dunia.
“Dunia penyiaran hari ini menuntut kreativiti, keberanian dan kepekaan terhadapkehendak penonton. Saya mahu Borneo.TV jadi ruang untuk mencabar norma, mengetengahkan idea baharu dan memperkenalkan wajah sebenar Sabah,” katanya.
Hajiji menegaskan petugas Borneo.TV harus melihat tugas mereka bukan sekadar rutin teknikal tetapi sebagai satu bentuk seni kreatif yang membina imej negeri.
Katanya, kandungan yang diterbitkan mesti membawa nilai, identiti dan naratif yang membina.
Beliau turut menyeru penggiat seni, pengaruh digital serta pemain industri kreatif tempatan agar memanfaatkan Borneo.TV sebagai pentas mengetengahkan karya asli dan suara masyarakat Sabah secara inklusif dan berwibawa.
Majlis itu turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kerajaan Negeri yang diwakili Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) dan IB Media Consultant Work Sdn Bhd selaku yarikat pengendali Borneo.TV yang beroperasi tanpa sebarang dana daripada kerajaan negeri.
“Model pelaksanaan ini membuktikan komitmen dan kepercayaan sektor swasta terhadap potensi penyiaran digital di Sabah.
“Saya yakin pendekatan ini akan meletakkan Borneo.TV sebagai platform yang berdaya saing dan mampan,” katanya.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Sekretariat SMJ dan IB Media atas kejayaan merealisasikan pelaksanaan Borneo.TV di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 1.0 yang menekankan pembangunan sektor ekonomi kreatif sebagai salah satu pemacu utama negeri.
“Saya menyeru semua pihak, kerajaan, swasta dan masyarakat, untuk bersama menyokong usaha ini dan menggunakan ruang ini untuk mencipta, berkongsi dan menyampaikan naratif Sabah sebagaimana yang kita sendiri mahu dunia melihatnya,” katanya. – Info X